Ujian GeNose di lapan stesen kereta api - Utusan Malaysia

Ujian GeNose di lapan stesen kereta api

PENUMPANG melakukan ujian GeNose C19 sebelum menaiki kereta api di Stesen Pasar Senen, Jakarta, Indonesia. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Syarikat Kereta Api Indonesia (KAI) meletakkan sistem pemeriksaan GeNose C19 bagi mengesan jangkitan Covid-19 di enam buah lagi stesen bermula hari ini.

Keenam-enam stesen tersebut termasuk Stesen Gambir, Solo Balapan, Bandung, Cirebon, Semarang, Tawang dan Surabaya Pasar Turi.

Sebelum ini, sistem ujian Covid-19 tersebut hanya disediakan di Stesen Pasar Senen dan Yogyakarta.

Dengan penambahan tersebut, jumlah keseluruhan stesen yang dilengkapi dengan GeNose adalah sebanyak lapan stesen.

Para penumpang boleh melakukan ujian tersebut pada harga 20,000 rupiah (RM5.79).

Timbalan Pengerusi Perhubungan Awam KAI, Joni Martinus berkata, penambahan sistem tersebut bertujuan memastikan perkhidmatan kereta api tidak menjadi medium penularan wabak Covid-19.

“GeNose C19 merupakan hasil sinergi Badan Usaha Milik Negara (BUMN) iaitu antara KAI dan Rajawali Nusantara Indonesia menerusi anak syarikatnya, Rajawali Nusindo serta Universiti Gadjah Mada.

“Jumlah stesen yang dilengkapi dengan GeNose akan terus ditambah secara berperingkat,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.

Jelas Joni, sejak diperkenalkan pada 3 Februari lalu sehingga semalam, sebanyak 21,530 penumpang sudah menggunakan GeNose C19.

Katanya, penumpang kereta api jarak jauh diwajibkan menunjukkan surat keterangan negatif GeNose atau ujian saringan Covid-19 yang lain dalam tempoh tiga hari sebelum menaiki kereta api.

Ujian GeNose memerlukan penumpang menarik nafas dan melepaskannya sebanyak tiga kali menerusi mulut ke dalam bekas plastik yang disediakan.

Kemudian, petugas kesihatan akan memeriksa dan prosedur mengambil masa kira-kira tiga minit.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya