JAKARTA: ‘Tolong kami, bayar gaji Covid-19 kami yang tertunggak dari Mei 2020 hingga Januari 201’
Itu adalah rintihan para petugas perubatan di Hospital Umum Daerah Pirngadi Medan di Sumatera Utara.
Lapor Kompas.com, sejak beberapa bulan lalu, petugas kesihatan di hospital berkenaan tidak dibayar gaji biarpun terpaksa bekerja keras menguruskan kes Covid-19 yang semakin ‘rancak’ hari demi hari.
Sehubungan itu, mereka membuat keputusan melakukan mogok bagi mendesak pihak berkaitan membayar gaji secepat mungkin.
Seorang daripada petugas, Boala Zendrato berkata, mereka masih meneruskan pekerjaan biarpun tak dibayar gaji sejak Mei tahun lalu.
Katanya, apabila meminta pengurusan hospital melangsaikan gaji yang tertunggak, mereka hanya dimaklumkan suruh bersabar.
“Kami terus dijanjikan untuk dibayar gaji, namun sampai sekarang apa pun tak dapat lagi.
“Kami berdepan dengan cabaran paling besar malah sanggup menggadaikan nyawa untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, tapi inikah balasan kami?,” katanya.
Sementara itu, Ketua Sektor Perkhidmatan Petugas Hospital Pringadi Medan, Rimas memaklumkan insentif untuk membayar gaji petugas dari Mei hingga Disember 2020 belum diterima dari pihak pengelola.
Beliau juga tidak mengetahui mengapa insentif untuk petugas perubatan lambat dibayar sedangkan sudah dijanjikan oleh pihak berkuasa untuk membayar gaji mereka.