WASHINGTON: Instagram semalam menutup akaun milik aktivis antivaksin, Robert F. Kennedy Jr.
Lapor CNN, jurucakap Facebook yang memiliki Instagram memaklumkan Robert sering membuat kenyataan bercanggah mengenai Covid-19 dan vaksin.
Robert yang merupakan anak bekas Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Senator AS dan calon presiden Robert F. Kennedy sebelum ini berulang kali menolak penggunaan vaksin bagi mencegah penularan jangkitan koronavirus.
Dia juga didakwa melobi Kongres untuk memberi pelepasan kepada ibu bapa supaya tidak memberi suntikan vaksin kepada anak-anak mereka.
Walaupun begitu, Robert mengakui kesemua anak-anaknya menerima vaksin dan dia sendiri bersetuju jika vaksin yang digunakan adalah selamat.
Laman Facebooknya yang mempunyai lebih 300,000 pengikut masih aktif dan mungkin tidak akan disekat.