JAKARTA: Perkhidmatan Taman dan Hutan Bandar (DPHK) Jakarta menolak cadangan untuk mengecilkan petak kubur bagi ‘menjimatkan ruang tanah’.
Ketua Pusat Data dan Maklumat DPHK, Ivan Murcahyo berkata, timbul kebimbangan jenazah tidak dapat dikebumikan dengan sempurna sekiranya ukuran liang lahad dikecilkan.
“Walaupun ingin menambah kapasiti kubur, tetapi janganlah kecilkan ukuran liang lahad kerana khuatir jenazah tidak dapat dikebumikan dengan sempurna akibat tidak muat.
“Sebaliknya kita boleh tingkatkan kapasiti kemudahan infrastruktur di setiap tanah perkuburan,” katanya seperti yang dipetik Antara News.
Terdahulu, pihak berkuasa tempatan bercadang untuk mengecilkan ruang liang lahad bagi menampung jumlah kematian pesakit Covid-19 yang semakin tinggi.
Hal ini susulan daripada kapasiti tanah perkuburan yang semakin terhad.
Selain itu, Ivan juga menyatakan pengecilan liang lahad boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga.
Jelasnya, kematian adalah satu sensitiviti yang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.
“Saya bimbang jika lebih banyak masalah lain akan timbul di kemudian hari, maka lebih wajar jika kita kekalkan ukuran liang lahad seperti yang sedia ada,” ujarnya.