BANGKOK: Kerajaan Thailand akan menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 pada 24 Februari ini.
Lapor The Nation Thailand, syarikat penerbangan nasional, Thai Airways ditugaskan untuk membawa 200,000 dos vaksin CoronaVac dari China ke negara itu pada tarikh berkenaan.
Jelas laporan tersebut, penerbangan TG675 akan berlepas dari Beijing pada pukul 6.50 pagi (waktu tempatan) dan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada pukul 11.05 pagi (waktu tempatan).
Menurut laporan itu, pesawat Airbus A350-900 akan membawa bekalan pertama dua juta vaksin yang ditempah oleh Thailand daripada syarikat farmaseutikal China, Sinovac.
Vaksin tersebut akan dibawa di dalam bekas khas yang mampu mengawal suhu.
Vaksin CoronaVac boleh disimpan secara selamat pada suhu peti sejuk biasa.
Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) Thailand bersedia untuk meluluskan vaksin CoronaVac untuk kegunaan kecemasan.
Sebelum ini, Thailand sudah menempah sebanyak 61 juta dos vaksin AstraZeneca namun penghantaran dari Eropah telah ditangguhkan.