YANGON: Pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi ditahan tentera Myanmar, kata jurucakap parti itu pagi tadi.
“Kita dapat maklumat bahawa Presiden Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi sudah ditahan di Naypyidaw oleh tentera.
“NLD beranggapan bahawa tentera kini merancang untuk melakukan rampasan kuasa, berdasarkan situasi semasa dan apa yang kami perhatikan ketika ini,” kata jurucakap NLD, Myo Nyunt.
Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan negara ini, sekali gus menangani krisis politik yang kian rapuh di Myanmar. – AFP