Tapak kaki dinosaur berusia 215 juta tahun ditemukan - Utusan Malaysia

Tapak kaki dinosaur berusia 215 juta tahun ditemukan

LILY WILDER menemui tapak kaki dinosaur berusia 215 juta tahun di sebuah pantai di Bendricks Bay. - WALES NEWS SERVICE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari Wales menemui sebuah tapak kaki dinosaur berusia 215 juta tahun yang dipelihara dengan sempurna.  

Lapor Daily Mail, Lily Wilder menemui tapak kaki haiwan itu di sebuah pantai di Bendricks Bay berhampiran Barry.

Kanak-kanak perempuan itu yang berasal dari Llandough, berhampiran Cardiff, menjumpai batu fosil itu ketika keluar berjalan bersama ayahnya, Richard, 47.  

Tapak kaki itu berukuran lebih 9.91 sentimeter (cm) panjang dan dipercayai milik dinasour berkaki dua yang spesiesnya masih belum diketahui lagi.  

Menurut pakar, haiwan yang menghasilkan tapak kaki itu mungkin setinggi 75cm dan panjangnya berukuran 2.5 meter.  

Ibu kanak-kanak itu, Sally, 38, berkata, pada mulanya mereka menyangka ukiran tapak kaki itu dilakukan oleh artis.

“Apabila Richard pulang ke rumah dan menunjukkan gambar tapak kaki itu, saya sangka ia diukir oleh artis.

“Namun, saya tahu sebelum ini tapak kaki dinosaur juga pernah ditemui, jadi kami memutuskan untuk mendapatkan pandangan pakar,” katanya.    

Dalam pada itu, ahli arkeologi, Karl-James Langford menyifatkan penemuan tapak kaki dinasour berusia 215 juta tahun sebagai terbaik di Britain dalam tempoh sedekad.

Katanya, penemuan itu sangat sempurna dan merupakan karya yang indah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya