TAIPEI: Pihak berkuasa Taiwan menarik semula saman yang dikenakan terhadap seorang lelaki yang melanggar perintah kuarantin di rumah selepas mendapat tahu bahawa individu itu sebenarnya telah diculik.
Lapor CNN, lelaki itu dikenali sebagai Chen, tiba dari Hong Kong pada Oktober tahun lalu dan menjalani kuarantin wajib di rumah kawannya yang terletak di pusat bandar Nantou.
“Pada 1 November kira-kira 11 malam, beberapa pemungut hutang memecah masuk rumah dan tersilap culik Chen dengan menganggapnya kawan lelaki tersebut.
“Mereka memaksa Chen untuk membayar hutang dan akhirnya menghantar pulang ke rumah tersebut. Dia mengalami kecederaan semasa diculik,” jelas cawangan Changhua di bawah Agensi Penguatkuasaan Pentadbiran Taiwan dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa kesihatan awam pada mulanya mengenakan denda sebanyak AS$ 3,500 (RM14,164) kerana melanggar perintah kuarantin di rumah bagi menangani pandemik Covid-19.
Namun, kes tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Kehakiman bagi menyiasat mengenai dakwaan ditahan secara paksa.
Jelas pihak berkuasa, polis mengesahkan dakwaan Chen dan pemungut hutang itu kini sedang disiasat.