XINJIANG: WANITA yang ditahan akan dirogol, tangan mereka digari, sebelum ‘diratah’ tentera China yang zalim dan mempunyai nafsu binatang.
Itu antara luahan etnik minoriti Islam Uighur yang menghuni Wilayah Xinjiang ketika ditemu bual wartawan BBC bagi membongkar kebiadaban tentera China yang menjadikan kem tahanan sebagai ‘rumah pelacuran’.
Seorang wanita dari Kazakhstan, Gulzira Auelkhan yang ditahan selama 18 bulan di kem tahanan di Xinjiang mendedahkan, dia dipaksa membogelkan tahanan wanita lain dan menggari mereka, sebelum dibiarkan bersendirian dengan lelaki China.
“Tugas saya adalah menanggalkan pakaian mereka atas pinggang dan menggari mereka supaya tidak dapat melarikan diri.
“Kemudian saya akan meninggalkan wanita itu di sebuah bilik sebelum lelaki China dari luar atau pihak polis akan masuk,” luahnya.
Katanya, lelaki China akan membayar duit kepadanya bagi memilih tahanan wanita muda paling cantik.
Beberapa bekas tahanan di kem turut meluahkan mereka dipaksa menemani pengawal kem tahanan tersebut atau berdepan hukuman.
Auelkhan meluahkan perasaanya kerana dia tidak berdaya untuk menentang permintaan rakus tentera itu.
Dia malah mengakui kem tahanan di kawasan itu mempunyai kaedah merogol setiap tahanan yang sistematik.
WILAYAH Xinjiang yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan sudah puluhan tahun dicengkam dan disiat oleh kekejaman Kerajaan China dengan menggunakan pelbagai tipu helah agar dunia dan negara Islam luar tidak sedar ‘najis’ yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Etnik Uighur majoritinya merupakan kumpulan minoriti Turki Islam dengan populasi mencecah 11 juta di Xinjiang yang terletak di barat laut China.
Bagi seorang tahanan yang melarikan diri dari kem tahanan Xinjiang, Tursunay Ziawudun, 42, dan sekarang berada di Amerika Syarikat (AS) menceritakan bagaimana tahanan perempuan mengalami detik hitam apabila dirogol di sel setiap malam oleh seorang atau lebih lelaki Cina yang bertopeng.
Dia malah ditengking dan kemudian dirogol sebanyak tiga kali oleh tiga lelaki pada setiap masa.
Ziawudun menceritakan, beberapa wanita yang dipungut dari sel tahanan pada waktu malam tidak akan kembali semula ke sel mereka.
Malah, sesiapa yang dihantar semula ke sel tahanan, diugut supaya tidak menceritakan apa yang berlaku terhadap tubuh mereka.
“Anda tidak boleh memberitahu sesiapa apa yang berlaku, anda hanya boleh baring dengan senyap. Ia memang sengaja direka untuk memusnahkan jiwa setiap orang,” luahnya.