YANGON: Pemimpin Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi yang ketika ini diletakkan di bawah tahanan rumah di Naypyidaw, dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Lapor Reuters, seorang pegawai NLD berkata, penerima Hadiah Nobel Keamanan itu masih berada dalam tahanan walaupun terdapat desakan antarabangsa untuk segera membebaskan pemimpin tersebut.
Dilaporkan, penduduk di hab komersial Yangon melakukan bantahan dengan melaungkan slogan sambil mengetuk periuk dengan kuat sebagai tanda menghalau kejahatan dan perkara buruk.
Ia merupakan protes awam terbesar yang dilakukan bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera Myanmar.
Dalam pada itu, kakitangan dari 70 hospital dan pusat perubatan di 30 bandar di Myanmar dilaporkan mengadakan mogok dengan berhenti bekerja sebagai tanda protes terhadap rampasan kuasa yang menggulingkan Suu Kyi.
Menurut Myanmar Civil Disobedience Movement dalam satu kenyataan, tentera negara ini mengutamakan kepentingan mereka berbanding penduduknya yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran semasa pandemik Covid-19.
“Kami enggan mematuhi sebarang perintah daripada rejim ketenteraan tidak sah yang jelas menunjukkan mereka tidak mempedulikan pesakit kami,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, sebanyak empat doktor yang enggan mendedahkan nama mereka, mengesahkan telah berhenti bertugas.
“Saya mahu tentera Myanmar pulang semula ke tempat asal, disebabkan itu ramai doktor tidak mahu pergi ke hospital.
“Saya tidak pasti berapa lama mogok ini akan berlangsung, ia bergantung kepada situasi,” kata seorang doktor berusia 29 tahun.