SINGAPURA: Kerajaan Singapura dalam proses membangunkan sebuah projek perumahan bandar pintar berkonsepkan eko di republik ini.
Lapor CNN, projek itu menjanjikan pembinaan sebanyak 42,000 kediaman baharu di lima kawasan perumahan yang terletak di bandar eko di Tengah, bahagian barat, Singapura.
Projek tersebut juga bakal menjadi penempatan baharu ke-24 yang dibina oleh kerajaan Singapura sejak Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun, projek itu menampilkan penggunaan sistem pengudaraan berpusat, pengutipan sampah secara automatik dan bandar bebas kereta yang pertama seumpamanya di kawasan perumahan tersebut.
Pembangunan itu dikenali sebagai `bandar hutan’ disebabkan persekitarannya yang dikelilingi kehijauan dan taman bagi membolehkan penduduk menikmati keindahan alam semula jadi.
Tapak seluas 700 hektar yang sebelum ini menjadi lokasi kilang pembuatan batu dan latihan ketenteraan kini giat dibangunkan untuk dijadikan sebagai kawasan hutan sekunder sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengarah Kumpulan Perancangan dan Penyelidikan di Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura, Chong Fook Loong berkata, projek itu membuktikan perancangan bandar yang menyokong prinsip reka bentuk hijau dan teknologi pintar.
“Kami mengetengahkan konsep ideal iaitu pengasingan trafik dan pejalan kaki bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua penghuni.
“Kami mahukan sebuah bandar yang membenarkan orang berjalan dan berbasikal dengan cara sangat mesra pengguna,” katanya.
Tambah beliau, pelan induk itu akan menampilkan pemasangan stesen pengecasan kenderaan elektrik serta jalan-jalan juga dibina untuk menampung teknologi baharu pada masa hadapan.