Simpan rambut panjang semata-mata mahu derma - Utusan Malaysia

Simpan rambut panjang semata-mata mahu derma

KALEB TEKABEWORK dan adiknya, Aaron menyimpan rambut panjang agar dapat mendermakannya kepada badan amal, Wigs for Kids. - SWNS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dua adik-beradik lelaki menghabiskan masa hampir lima tahun untuk menyimpan rambut panjang agar dapat mendermakannya kepada badan amal yang menghasilkan rambut palsu bagi kanak-kanak kehilangan rambut akibat penyakit.

Lapor Daily Mail, Kaleb Tekabework, 11 dan adiknya, Aaron, 9, dari Philadelphia, Pennsylvania berhenti memotong rambut selepas menonton satu dokumentari pada April 2016 mengenai seorang pesakit kanak-kanak menghidap kanser menerima rambut palsu daripada budak perempuan.      

Sejak itu, Tekabework dan Aaron yang masing-masing berusia 7 dan 5 tahun pada ketika itu, membuat keputusan untuk menyimpan rambut panjang agar dapat melakukan perkara yang sama.

Menurut laporan itu, rambut adik beradik sepanjang 48.26 sentimeter telah dipotong pada awal bulan ini dan disumbangkan kepada badan amal, Wigs for Kids.   

Wigs for Kids menghasilkan rambut palsu kepada kanak-kanak yang kehilangan rambut akibat rawatan kemoterapi, terapi radiasi, masalah keguguran Alopecia, Trichotillomania, luka bakar dan masalah perubatan lain.

Adik beradik itu juga berjaya mengumpul dana sebanyak AS$3,415 (RM13,798) bagi membantu penyelidikan penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak di Addis Ababa University College of Health Sciences.

Dalam pada itu, Aaron mengakui terpaksa berdepan pelbagai kesukaran termasuk dibuli di sekolah disebabkan penampilan yang kelihatan seperti perempuan kerana berambut panjang.  

“Kami menghadapi banyak tekanan seperti diejek dan dibuli di sekolah hanya kerana memiliki rambut panjang.

“Tetapi, saya dan adik saya terus fokus untuk mencapai matlamat kami,” katanya.

Sementara itu, ibu mereka, Senafikish berkata, dia berasa terharu dan bangga melihat kesungguhan anak-anaknya yang mahu menderma rambut kepada pesakit yang memerlukan.

“Tindakan mereka memberi inspirasi kepada ramai orang termasuk kami.

“Kesediaan untuk menderma sebahagian daripada tubuh mereka kepada individu yang memerlukan adalah tindakan murni dan tidak mementingkan diri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya