Semua hipotesis masih diteliti - WHO - Utusan Malaysia

Semua hipotesis masih diteliti – WHO

TEDROS ADHANOM GHEBREYESUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Semua hipotesis masih diteliti dalam usaha Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mencari asal-usul Covid-19, kata Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Kenyataan itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) memaklumkan mahu mengkaji semula penemuan misi antarabangsa diketuai WHO ke China.

Pasukan pakar yang menghabiskan hampir empat minggu di China bagi menyiasat asal usul Covid-19 menjelaskan bahawa penelitian mereka tidak sama sekali berdasarkan kepada teori virus itu tercetus dari makmal virologi, yang dianggap agak mustahil.   

“Timbul beberapa persoalan sama ada sebahagian besar hipotesis telah diketepikan, namun selepas bercakap dengan beberapa pakar pasukan itu, saya ingin mengesahkan bahawa semua hipotesis masih diteliti dan memerlukan analisis dan kajian lanjut.    

“Beberapa kerja itu mungkin berada di luar bidang tugas dan skop misi ini.

“Malah, kami sentiasa menyatakan bahawa misi ini tidak akan menemui semua jawapan tetapi ia menambah maklumat penting yang membawa kita lebih dekat untuk memahami asal usul virus Covid-19 ini,” katanya.     

Jelas Ghebreyesus, satu laporan rumusan berhubung penemuan misi itu akan disiarkan seawal minggu depan.

Katanya, ia disusuli dengan laporan akhir dalam beberapa minggu lagi.

Tambah beliau, kedua-dua laporan itu akan didedahkan kepada umum.

Sebelum ini, pentadbiran di bawah pimpinan bekas Presiden AS, Donald Trump mendakwa virus itu mungkin tercetus dari sebuah makmal di bandar Wuhan di China.

Kerajaan China bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya