JAKARTA: Sekolah negeri dan pemerintah daerah dilarang menetapkan peraturan pemakaian uniform sekolah pelajar yang melambangkan agama tertentu.
CNN Indonesia melaporkan, larangan itu merupakan kenyataan bersama Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Nadiem Makarim, Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian dan Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas.
Larangan itu dikeluarkan menerusi Surat Keputusan Bersama antara ketiga-tiga kementerian yang diumumkan dalam sidang akhbar menerusi siaran langsung You Tube Kementerian Pendidikan.
Pihak kementerian menegaskan keputusan memakai uniform yang melambangkan agama tertentu merupakan hak bagi setiap pelajar dan guru.
Ini bermakna, setiap guru dan pelajar bebas memilih seragam masing-masing.
Peraturan itu ditetapkan bagi semua sekolah negeri di Indonesia kecuali bagi pelajar dan guru beragama Islam di Aceh. Jika ada yang melanggar arahan itu, mereka akan dikenakan hukuman selari peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan.
Isu itu timbul apabila Sekolah Menengah Kebangsaan Negeri 2 Padang, Sumatra Barat memaksa pelajar bukan Islam memakai tudung.
Dalam pada itu, Pengerusi Bahagian Maklumat dan Komunikasi Majlis Ulama Indonesia (MUI), Masduki Baidlowi berkata, pelaksanaan peraturan uniform agama di sekolah negeri itu tidak melanggar prinsip agama.
Jelasnya, pelaksanaan peraturan itu sebenarnya menjadikan Indonesia penuh kepelbagaian.
“Saya kira ia bagus, tiada masalah dengan peraturan itu kerana kita kembali ke warna-warni Indonesia. Sebelum ini, uniform peraturan baharu pernah dilaksanakan dan sekarang kita kembali ke pembinaan karakter dasar bangsa,” katanya.
Menurut beliau, bagi seorang penganut Islam yang penting adalah kewajipan menutup aurat.
“Bagi seorang Islam, saya kira yang penting menutup aurat. Jadi itu adalah pilihan pada setiap pelajar dan saya kira tidak boleh ada unsur pemaksaan. Saya kira hak-hak dasar bagi seorang warganegara itu dijamin,” ujarnya.