JAKARTA: Pihak polis menahan sebuah keluarga di Surabaya, Jawa Timur kerana disyaki menjadi geng penyeluk saku, lapor Kompas.com.
Suspek ialah seorang ayah dikenali RDA, 50, ibu, AY, 41, dan anak mereka, ORT, 27 dan kesemua mereka tinggal di Jalan Darmo Permai.
Modus operandi mereka sekeluarga dibantu oleh seorang lagi suspek dikenali SW dari daerah Tambaksari yang merupakan kenalan AY.
Ketua Polis Surabaya, Arief Rizki Wicaksana berkata, setiap ahli kelurga mempunyai peranan masing-masing ketika melakukan perbuatan jenayah itu.
Wanita yang bergelar ibu memainkan peranan mendekati mangsa, suaminya bertindak sebagai pemantau manakala, anaknya akan melemparkan beg dompet yang dicuri kepada orang lain.
“Pemungut beg dompet itu adalah individu lain yang merupakan kenalan kepada AY,” katanya.
Menurut Arief, kesemua suspek ditangkap selepas cuba menyeluk saku di Pasar Pagi Tugu Pahlawan, 24 Januari lalu.
Mangsa yang bernama Ervi Ananda Ayu membuat laporan polis telefon bimbitnya hilang sebelum pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan memberkas suspek.