JAKARTA: Seorang lelaki di bawah pengaruh dadah menyamun menggunakan pistol airsoft di Perumahan Grand Mansion, Jalan Daan Mogot, Jakarta Barat.
CNN Indonesia melaporkan, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar suspek melakukan jenayah itu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cengkareng, Arnold Simanjuntak mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sudah menjalankan ujian air kencing bagi mengenal pasti jenis dadah yang diambil.
“Suspek didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.
Suspek bukan sahaja mengacu senjata kepada pengawal keselamatan bahkan mengancam pihak polis yang berada di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, pihak polis berjaya menangkap suspek dengan bantuan saksi kejadian.
Suspek didakwa mengikut Artikel 336 Undang-Undang Jenayah berhubung ancaman Artikel 1 Perenggan 2 Undang-Undang Darurat Nombor 12, 1951.