JAKARTA: Kes seorang seorang lelaki warga emas yang disaman oleh anak kandungnya sebanyak tiga juta rupiah (RM867,772) berakhir apabila mereka mengambil keputusan untuk berdamai dan melupakan sengketa yang berlaku.
Lapor Kompas.com, Koswara, 85, dan anak lelakinya, Deden saling berpelukan dan menangis ketika mengadakan pertemuan semalam.
Kes saman itu berlaku selepas Koswara ingin menjual tanah pusaka milik ibu bapanya dan hasil jualan akan dibahagikan kepada adik-beradik lelaki tersebut.
Namun, hasrat Koswara berdepan masalah apabila Deden enggan membiarkan tanah itu dijual.
“Tanah itu bukan milik saya seorang, adik-beradik saya ada bahagian dalam tanah itu dan mereka pun bersetuju untuk tanah itu dijual,” kata Koswara di Mahkamah Daerah Bandung pada bulan lalu.
Dalam pada itu, ramai yang bersimpati dengan kes tersebut dan dianggarkan sebanyak 40 peguam tampil untuk membantu Koswara.
Jelas peguam bela Koswara, Bobby Herlambang berkata, kesemua peguam tersebut menawarkan khidmat mereka secara percuma atas dasar kemanusiaan.
Selain itu, kes tersebut juga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang kebanyakannya marah dan kecewa terhadap sikap Deden yang sanggup menyaman bapanya.
Sementara itu, mahkamah memberi masa selama 30 hari kepada kedua beranak tersebut untuk berdamai dan menyelesaikan kes dan jika ada antara mereka yang ingin menyambung semula kes, maka mahkamah akan melakukan perbicaraan.