LOS ANGELES: Seorang wanita mirip wajah Marilyn Monroe yang kini tinggal di kediaman mewah pelakon Hollywood itu mendakwa bahawa rumah itu `diganggu’ roh mendiang selebriti tersebut.
Lapor Daily Mail, Jasmine Chiswell, 25, dari Lanarkshire, Scotland yang wajahnya seiras bintang terkenal itu menjadi popular di laman media sosial tahun lalu selepas dia mula berkongsi video rumah Marilyn dan suaminya, Joe DiMaggio yang menetap di sana pada 1950an.
Chiswell yang tampil di program televisyen, This Morning mendakwa mengalami pengalaman paranormal ketika berada di rumah agam itu termasuk mendengar suara pelik, bunyi tapak kaki dan merasai kehadiran seseorang yang menghampirinya.
Katanya, seorang psikik memberitahu bahawa rumah agam itu diganggu roh Marilyn dan DiMaggio.
“Banyak perkara aneh telah berlaku. Saya dan suami saya cuba mengelak tetapi ramai merasai pengalaman yang tidak dapat dijelaskan.
“Ada yang merasakan seperti dipeluk, mendengar suara pelik, bunyi tapak kaki setiap malam. Ia berlaku setiap masa,” katanya.
Menurut Chiswell, dia dan suaminya juga pernah memeriksa gangguan itu beberapa kali sebelum mendapatkan bantuan pakar penyiasat paranormal.
“Kami sudah cuba semua termasuk memeriksa seluruh rumah untuk melihat sama ada bunyi itu daripada haiwan atau di luar rumah, namun gagal mengesannya.
“Kami tidak pasti sehingga terpaksa mendapatkan bantuan psikik yang percaya merupakan roh mendiang Marilyn dan DiMaggio atau roh lain,” katanya.