LONDON: Sebuah robot humanoid yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) akan mempamerkan beberapa siri lukisan potret yang dihasilkannya dengan hanya melihat ke cermin menerusi mata kameranya.
Lapor Daily Mail, robot dinamakan Ai-Da sempena ahli matematik, Ada Lovelace, merupakan robot ultra realistik pertama yang mampu melukis potret orang dengan hanya menggunakan mata dan pensil di tangannya.
Karya Ai-Da akan dipamerkan di Muzium Design di London antara bulan Mei dan Jun depan sekiranya perintah berkurung yang dilaksanakan ketika ini dibenarkan.
Ai-Da hanya perlu melihat ke arah cermin dan proses AI serta program algoritma pada robot tersebut akan mengubah apa dilihatnya menjadi koordinat.
Tangan robotik digunakan oleh Ai-Da, yang dibangunkan oleh jurutera di Leeds, kemudian akan mengira ‘virtual path’ dan menafsirkan koordinat untuk menghasilkan karya seni.
Pemilik galeri seni Oxford, Aidan Meller dan kurator, Lucy Seal yang mencetuskan idea tersebut untuk Ai-Da.
Menurut Seal, lukisan potret itu bakal menunjukkan kebergantungan dunia moden terhadap teknologi yang dilengkapi dengan data.