TOKYO: Ribuan penunjuk perasaan warganegara Myanmar berhimpun di luar pejabat Kementerian Luar Jepun hari ini bagi mendesak campur tangan Tokyo menentang rampasan kuasa tentera di Myanmar.
Hampir 3,000 penunjuk perasaan memakai baju berwarna merah dan membawa gambar Pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi dengan memenuhi persekitaran bangunan tersebut.
“Bebas, bebas Aung San Suu Kyi, bebas, bebas Myanmar,” jerit peserta demonstrasi.
Pada masa sama, wakil peserta menyerahkan kenyataan rasmi kepada pihak kementerian luar yang merayu Tokyo menggunakan semua kuasa politik, diplomatik dan ekonomi bagi mengembalikan semula kerajaan sah di Myanmar.
Jepun dan Myanmar menjalinkan hubungan dua hala sejak sekian lama, dengan Tokyo merupakan penyumbang bantuan terbesar di negara itu.
Syarikat terbesar di Jepun sangat agresif melebarkan perniagaan mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Suu Kyi dan Win Myint serta beberapa pemimpin kanan NLD ditahan tentera di Naypyidaw sebelum ini.
Penahanan itu dibuat seminggu selepas Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan negara itu, sekali gus menangani krisis politik itu.
Kesatuan Penduduk Myanmar yang menganjurkan demonstrasi itu berkata, Jepun tidak perlu mengiktiraf kerajaan rejim baharu yang dibentuk di Myanmar. -REUTERS