Ratusan anggota kumpulan pejuang pertimbang letak senjata - Utusan Malaysia

Ratusan anggota kumpulan pejuang pertimbang letak senjata

MURAD EBRAHIM 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Sinar keamanan di selatan Filipina terus berkembang ketika beratus-ratus anggota kumpulan pejuang sedia mempertimbangkan untuk meletakkan senjata bagi menjalani kehidupan normal. 

Lapor Arab News, Ketua Menteri Wilayah Autonomi Muslim Bangsamoro Mindanao (BARMM), Murad Ebrahim berkata, langkah itu susulan kerajaan giat meneruskan program anti-keganasannya.

“Kami sedang cuba berbincang dan meyakinkan mereka untuk menyertai kami iaitu kerajaan dalam membangunkan tanah air,” kata Murad kepada pemberita di Forum Persatuan Koresponden Luar Filipina (FOCAP).

Sejak dua tahun penubuhannya, kerajaan BARMM telah menyaksikan ribuan anggota daripada Pasukan Bersenjata Islam Bangsamoro (BIAF) sedia untuk berdamai dengan `meletakkan senjata’.

BIAF adalah sayap tentera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), antara kumpulan pemisah terbesar di Filipina, yang juga dipimpin Murad.

“Kami mensasarkan untuk menyaksikan sekurang-kurangnya 40,000 anggota letak senjata. 

“Ia dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu fasa pertama terdiri daripada 30 peratus manakala kedua dan ketiga masing-masing sebanyak 35 peratus,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya sudah menyelesaikan fasa pertama membabitkan 12,000 bekas anggota BIAF.

“Malah, terdapat juga sebuah kumpulan semasa pentadbiran terdahulu yang mana proses peletakan senjata secara simbolik melibatkan 1,500 anggota MILF sudah dimulakan,” katanya.       

Selain itu, Murad berkata, kerajaan BARMM telah memulakan perbincangan dengan anggota kumpulan Abu Sayyaf dan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) untuk turut serta berbuat demikian bagi kembali kepada kehidupan normal.

Pada 2014, BIFF dan Abu Sayyaf yang merupakan pertubuhan pemisah paling ganas di Mindanao, melafazkan taat setia kepada Daesh.

Dalam pada itu, menurut Murad, dua kumpulan dari BIFF terbuka kepada perbincangan berkenaan. 

Katanya, lebih 900 anggota kumpulan BIFF menyatakan hasrat untuk menyertai proses peletakan senjata kerajaan Bangsamoro.

Tambah beliau, beberapa anggota kumpulan Abu Sayyaf juga menunjukkan kemungkinan untuk berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun berkata, peletakan senjata dalam kalangan anggota MILF tertangguh kerana kerajaan masih belum menunaikan janjinya untuk menyalurkan AS$21,000 (RM84,887) menerusi pakej sosio-ekonomi bagi setiap 13,500 anggota yang menyertai proses tersebut.    

Pakej itu merangkumi kemudahan perumahan, biasiswa pendidikan untuk anak-anak mereka dan beberapa projek ekonomi yang lain.

  

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya