NEW YORK: Berpuluh-puluh juruterbang syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan melakukan beberapa kesilapan ketika penerbangan kerana kemahiran mereka ‘mula berkarat’ susulan terlalu lama tidak menerbangkan pesawat akibat pandemik Covid-19.
Permintaan bagi penerbangan domestik merosot sejak pandemik Covid-19, malah keadaan itu juga menyaksikan penerbangan antarabangsa dihentikan buat sementara waktu berikutan pintu sempadan banyak negara ditutup.
Lapor Daily Mail, menurut Sistem Pelaporan Keselamatan Penerbangan, sejak Mei tahun lalu, banyak juruterbang melakukan kesilapan kerana kemahiran mereka semakin merosot.
Jelas badan pemantau dibawah Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) itu, antara kesilapan tersebut termasuk lupa untuk melepaskan brek parkir ketika pesawat berlepas, melakukan tiga percubaan untuk mendaratkan kapal terbang ketika cuaca berangin dan memilih landasan yang salah.
Setakat ini, tiada laporan kesilapan yang dilakukan juruterbang itu menyebabkan kecederaan kepada penumpang.
Pakar penerbangan juga memberi amaran mengenai keperluan untuk memberi latihan penerbangan tambahan kepada juruterbang setelah mereka kembali bekerja selepas tempoh yang agak lama.
Lapor The Los Angeles Times, seorang juruterbang memberitahu kepada badan pemantau itu bahawa dia terlupa menghidupkan sistem de-icing ketika menerbangkan pesawat.
“Disebabkan tidak menerbangkan pesawat dalam beberapa bulan ini, kemahiran saya makin ‘berkarat’.
“Saya rasa ingatan saya cukup kuat namun hakikatnya saya sepatutnya mengambil sedikit masa untuk melihat semula prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Jelas laporan itu, seorang lagi juruterbang melakukan kesilapan dengan mendarat di landasan yang salah manakala juruterbang lain pula mematikan `autopilot’ secara tidak sengaja.