OTTAWA: Kerajaan Kanada menyenaraikan kumpulan Proud Boys sebagai entiti pengganas bersama dengan 12 kumpulan yang lain.
Lapor CNN, kerajaan itu menerusi satu kenyataan memaklumkan Proud Boys dianggap sebagai `kumpulan pelampau’ bersama tiga lagi gerakan iaitu Atomwaffen Division, the Base dan Russian Imperial Movement.
“Tindakan ganas dan retorik mereka didorong oleh ketuanan kulit putih, anti-semitisme, rasisme, homofobia, Islamofobia serta berpandangan jelik terhadap wanita.
“Malangnya kumpulan itu sering kali dikaitkan semua perkara di atas,” kata Menteri Keselamatan Awam Kanada, Bill Blair dalam satu sidang akhbar.
Menurut pegawai kerajaan, langkah tersebut akan membantu Kanada membekukan aset kewangan gerakan itu serta pembiayaan jenayah, latihan dan proses rekrut untuk semua kumpulan demikian.
Penglibatan kumpulan itu dalam beberapa siri demonstrasi di seluruh Amerika Syarikat (AS) termasuk rusuhan di bangunan Capitol mengundang kebimbangan pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Blair mengakui rusuhan di bangunan Capitol pada 6 Januari lalu telah mencetuskan tindak balas politik di Kanada namun keputusan diambil itu berdasarkan bukti, risikan dan undang-undang.
“Apa yang boleh saya katakan adalah sejak 2018, kami melihat aktiviti keganasan kumpulan ini (Proud Boys) semakin meningkat.
“Jadi, kami bekerja rapat dengan agensi penguatkuasa undang-undang dan rakan keselamatan negara dan telah memantau serta mengumpulkan bukti yang menyokong keputusan dibuat berkenaan ini,” katanya.