YANGON: Penduduk Myanmar dilanda kekeliruan dan panik selepas tentera negara ini melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dipimpin Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).
Kebanyakan mereka mula membuat pembelian panik dengan banyak sekatan jalan dilakukan di sekitar bandar utama termasuk Naypyidaw dan Yangon.
Selain itu, ramai juga yang melahirkan kemarahan berhubung situasi kini.
“Apa yang berlaku ketika ini amat teruk. Saya tidak mahu rampasan kuasa.
“Saya mahukan peralihan yang terbaik untuk semua pihak termasuk rakyat,” kata seorang lelaki di pekan Hlaing sambil beratur untuk membeli barangan keperluan di pasar raya.
Keadaan juga diburukkan apabila talian komunikasi dan data internet diterhadkan dan ada kemungkinan terus disekat dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Rampasan kuasa itu berlaku selepas tentera Myanmar menahan Pengerusi NLD, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan beberapa pemimpin politik lain.
Selain itu, tentera Myanmar turut mengisytiharkan darurat selama setahun. – AFP