YANGON: Seorang penasihat ekonomi warga Australia kepada pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi mendakwa telah ditahan di Myanmar selepas rampasan kuasa berlaku di negara itu.
Profesor dari Universiti Macquarie, Sean Turnell merupakan warga asing pertama yang disahkan ditahan oleh junta tentera baharu sejak mengambil alih kuasa pada Isnin lalu selepas menahan Suu Kyi dan beberapa pemimpin kanan lain dari parti NLD.
“Saya baru sahaja ditahan dan mungkin akan didakwa atas sesuatu tuduhan. Saya tidak pasti atas tuduhan apa.
“Semua orang bersikap sopan namun saya tidak bebas untuk bergerak atau melakukan apa-apa seperti itu,” katanya kepada BBC.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan lokasi penahanan Turnell.
Terdahulu, Turnell memberitahu BBC bahawa beliau ditahan di bilik hotelnya.
Dalam pada itu, Menteri Luar Australia, Marise Payne berkata, pihaknya memandang serius isu penahanan seorang warganegaranya yang ditahan di balai polis.
Kata beliau, pihaknya sudah menghubungi Duta Besar Myanmar berhubung laporan rakyat Australia dan warga asing lain yang ditahan secara sewenang-wenangnya di negara itu. – AFP