JAKARTA: Satu kajian mendapati individu yang bekerja dari rumah sambil memakai baju tidur berpotensi mendapat risiko kesihatan mental.
CNN Indonesia melaporkan, kajian yang disiarkan dalam Jurnal Perubatan Australia Disember lalu, melaporkan individu yang memakai baju tidur semasa bekerja dari rumah dilaporkan boleh mengalami kesihatan mental yang lebih buruk berbanding mereka yang memiliki anak kecil di rumah.
Kajian oleh penyelidik dari Institut Woolcock, David Chapman dan Cindy Thamrin dilakukan terhadap 163 pekerja di Australia.
“Memakai baju tidur bukanlah penyebab utama kesihatan mental menurun tetapi kesan daripada pemakaian itu akan meningkat terhadap kesihatan mental,” katanya.
Menerusi kajian itu, para penyelidik menggalakkan orang ramai memakai baju kerja bagi mengurangkan tahap kemurungan.
“Kami cadangkan tukar pakaian sebelum mula bekerja pada waktu pagi kerana ia mungkin dapat mencegah daripada penyakit mental,” jelasnya.
Menurutnya lagi, memakai baju tidur semasa bekerja dari rumah bukanlah idea terbaik.
Ini kerana katanya, memakai baju tidur semasa hari biasa tidak memberi sebarang kesan, tetapi, ia berbeza sekiranya dipakai ketika bekerja.
Malah, kajian mendapati menghiraukan aspek pemilihan pakaian akan memberi kesan negatif terhadap produktiviti, paten tidur dan kesihatan mental.
Pakar Psikologi, Charlotte Armitage memberi peringatan kepada individu yang bekerja di rumah supaya kekal fokus dan produktif.
“Sekiranya rutin menukar pakaian di rumah dilakukan, ia bermakna anda bersedia secara psikologi dan memberikan fokus untuk bekerja,” katanya.