New Zealand-Australia `bergaduh' tahanan Daesh - Utusan Malaysia

New Zealand-Australia `bergaduh’ tahanan Daesh

SUSPEK militan wanita dikenali sebagai SA diiringi polis Turki ketika dibawa ke sebuah mahkamah di daerah Reyhanli di Hatay. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Pemimpin New Zealand dan Australia terlibat dalam satu pertelingkahan berhubung negara mana yang harus memikul tanggungjawab terhadap seorang suspek militan Daesh yang memiliki dua kerakyatan negara tersebut.   

Lapor agensi berita AP, menurut Kementerian Pertahanan Turki, suspek wanita yang berusia 26 tahun dan dua anaknya ditahan ketika mereka cuba merentas secara haram dari Syria ke Turki. 

Suspek itu hanya dikenali sebagai SA.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berbalas kenyataan dengan rakan sejawatnya dari Australia, Scott Morrison mengenai perkara tersebut sekiranya suspek wanita itu dihantar pulang dari Turki.

SA mempunyai dua kerakyatan negara tersebut namun Australia sudah melucutkan kewarganegaraan suspek itu di bawah undang-undang anti keganasan. 

Ardern menegaskan wanita itu telah menetap di Australia sepanjang hayatnya malah pergi ke Syria dengan menggunakan pasport negara tersebut. 

“Dalam hal ini, kami percaya Australia melepaskan tanggungjawab mereka dan secara peribadi saya sudah menyatakan perkara itu kepada Morrison.   

“Tidak wajar bagi New Zealand memikul tanggungjawab terhadap wanita itu yang tidak lagi menetap di negara ini sejak berusia enam tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Morrison bagaimanapun menegaskan beliau hanya menjalankan tugasnya untuk melindungi kepentingan dan keselamatan Australia.

“Kami tidak mahu melihat pengganas yang bertempur dengan organisasi lain menikmati hak kewarganegaraan. Bagi saya mereka sudah pun kehilangan semua keistimewaan itu sejurus selepas menjadi musuh negara.

“Saya rasa rakyat Australia juga akan setuju dengan perkara ini,” katanya.

Jelas Morrison, undang-undang Australia 2015 jelas menunjukkan kewarganegaraan mana-mana individu yang memiliki dua kerakyatan yang terlibat dalam aktiviti keganasan, akan terbatal secara automatik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya