BEIJING: Kurang dari seminggu, masyarakat Tionghua di seluruh dunia bakal menyambut Tahun Baharu Cina bagi menandakan peralihan tahun mengikut kalendar kaum tersebut.
Pada kebiasaannya ketika ini, beratus juta penduduk China akan membanjiri semua sistem perkhidmatan pengangkutan termasuk tren dan kapal terbang bagi meraikan perayaan itu dengan keluarga tersayang.
Namun, pada tahun ini, fenomena itu tidak akan dapat dilihat apabila kerajaan China melarang sebarang perjalanan tidak penting sepanjang musim cuti bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19., termasuk balik kampung untuk beraya.
Bagi kebanyakan penduduk yang meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki di bandar-bandar besar, Tahun baharu Cina merupakan satu-satunya peluang untuk mereka bertemu dengan keluarga masing-masing pada tahun ini.
Ibu bapa yang meninggalkan anak-anak di kampung demi mencari sesuap nasi untuk keluarga juga terpaksa ‘menahan kerinduan’ untuk tempoh yang tidak dapat dijangka.
Peraturan baharu
Untuk tidak menggalakkan orang ramai daripada melakukan perjalanan, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China melaksanakan peraturan baharu.
Peraturan itu menyaksikan mana-mana penduduk yang ingin pulang ke kampung halaman perlu membuktikan keputusan ujian Covid-19 yang diambil dalam tempoh tujuh hari adalah negatif, selain harus menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di rumah masing-masing.
Terdapat juga sesetengah pihak berkuasa tempatan yang mengenakan peraturan lebih ketat. Sebagai contoh, penduduk perlu menjalani kuarantin yang di tempat yang disediakan berbanding melakukan perkara itu di rumah sendiri bersama keluarga.
Peraturan itu mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak dan menjadi perdebatan dalam media sosial dengan ada yang mempersoalkan polisi kerajaan ketika ramai penduduk ingin pulang bertemu keluarga.
Tahun kedua tidak dapat beraya
Tahun ini merupakan tahun kedua berturut-turut perayaan Tahun Baharu Cina tidak dapat diraikan susulan pandemik Covid-19 yang melanda.
Pada tahun lalu, sistem pengangkutan tren di Beijing mula dibanjiri penumpang sebelum perayaan disambut iaitu ketika kerajaan negara ini belum mengumumkan koronavirus boleh berjangkit dari manusia ke manusia atau ia sudah pun merebak di luar Wuhan.
Wuhan pula dikenakan perintah berkurung sepenuhnya dua hari selepas Tahun Baharu Cina disambut, namun jutaan penduduk sudah pun pulang ke kampung halaman masing-masing, sekali gus menyebabkan kes jangkitan naik mendadak.
Selepas cuti tamat, ramai yang terkandas di kampung selepas kerajaan melarang mereka untuk pulang ke bandar kerana tidak mahu jangkitan terus merebak.
Berbeza dengan tahun ini apabila semua stesen dan terminal pengangkutan sunyi sepi.
Kritikan dan kemarahan
Pada Oktober tahun lalu, kerajaan China membenarkan penduduknya meraikan perayaan ‘Minggu Keemasan’, menyaksikan semua tempat tumpuan pelancong dipenuhi orang ramai.
Perayaan itu juga dianggap sebagai satu keajaiban apabila tiada satu pun kes jangkitan tempatan dilaporkan sejak pertengahan Ogos lalu, sekali gus meyakinkan kerajaan dan penduduk bahawa mereka mampu menangani ancaman Covid-19.
Namun, kemarahan penduduk mula memuncak apabila kerajaan memutuskan tiada sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini.
Malahan, media tempatan turut membawa gesaan kerajaan supaya orang ramai terus duduk di rumah dan tidak pulang ke kampung.
“Kerajaan menghalang penduduk pulang bertemu keluarga hanya untuk memastikan misi mereka tercapai dan ini adalah sangat memalukan,” antara komen rakyat dalam Weibo.
Ada juga komen rakyat yang meminta supaya kerajaan China tidak terlalu ‘sensasikan’ larangan pulang ke kampung untuk meraikan Tahun Baharu Cina.
“Kami tahu kami tidak boleh beraya, pulang bertemu dengan keluarga tersayang. Namun, perlukah anda sentiasa bercakap mengenainya? Kami sudah cukup tertekan dengan apa yang berlaku,” menurut komen tersebut.
Ganjaran patuh peraturan
Demi memastikan penduduk tidak melanggar perintah sekatan Covid-19, terdapat segelintir pihak yang menawarkan wang tunai kepada penduduk sebagai ganjaran.
Selain wang tunai, ada juga syarikat serta majlis perbandaran menawarkan baucar beli-belah kepada penduduk.
Namun, sampai bila ganjaran itu ‘berkesan mengubat rindu kepada keluarga?’.