YANGON: Undang-undang tentera diumumkan di beberapa kawasan termasuk bandar kedua terbesar Myanmar, Mandalay, selepas ratusan ribu berhimpun di seluruh negara menentang rampasan tentera.
Perintah itu melibatkan tujuh bandar di Mandalay, yang melarang orang ramai daripada berdemonstrasi atau berkumpul secara berkumpulan melebihi lima orang serta pelaksanaan perintah berkurung bermula dari pukul 8 malam hingga 4 pagi, kata bahagian pentadbiran Jeneral dalam kenyataan.
Deklarasi sama diumumkan di bandar Ayeyarwaddy dan pengumuman berhubung kawasan lain dijangka diumumkan malam ini.
“Perintah ini terpakai sehingga diberitahu kelak. Sesetengah orang berkelakuan dalam cara membimbangkan yang dapat membahayakan keselamatan masyarakat dan penguat kuasa undang-undang.
“Tingkah laku sedemikian dapat mempengaruhi kestabilan, keselamatan orang ramai, pelaksanaan undang-undang dan keadaan kampung yang aman serta boleh menyebabkan rusuhan. Disebabkan itu, perintah tersebut melarang berkumpul, bercakap di hadapan khalayak ramai serta protes menggunakan kenderaan,” kata kenyataan itu.
Junta tentera minggu lalu menahan Aung San Suu kyi dan berpuluh-puluh anggota parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) sehingga menerima kecaman antarabangsa.
Sekurang-kurangnya 10,000 orang menghadiri tunjuk perasaan pada hujung minggu dalam himpunan besar pertama penentangan terhadap rampasan kuasa.
Di ibu kota komersial negara, Yangon, orang ramai berkumpul melimpahi jalan raya utama di kawasan bandar sehingga menyebabkan lalu lintas terganggu.
Para penunjuk perasaan melaungkan ‘turunkan kediktatoran tentera’ dan ‘bebaskan Aung San Suu Kyi dan orang yang ditangkap’ sambil memberi salam tiga jari yang melambangkan pergerakan mereka.
Seruan untuk mogok di seluruh negara mendapat momentum daripada orang ramai pada hujung minggu, dengan pekerja tekstil, penjawat awam dan pekerja kereta api tidak bekerja di pusat komersial. -AFP