BEIJING: Misi pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke China bagi menyiasat asal usul pandemik koronavirus dilaporkan gagal mengesan sumber yang menyebabkan jangkitan tersebut.
Para pakar percaya wabak yang membunuh lebih 2.3 juta orang di seluruh dunia berasal daripada kelawar dan mungkin berjangkit kepada manusia menerusi mamalia lain.
Menurut ketua pasukan China, Liang Wannian berkata, meskipun dipercayai jangkitan itu berpunca daripada binatang namun sumber asalnya masih belum dapat dikenal pasti.
Jelas beliau, beberapa kajian turut menunjukkan virus berkenaan boleh dibawa perjalanan jarak jauh melalui produk beku sekali gus mencetuskan kemungkinan virus ini diimport.
Beliau turut memaklumkan tiada petunjuk penyakit itu menular di Wuhan sebelum Disember 2019 apabila kes pertama dilaporkan.
Dalam pada itu, pakar luar negara WHO, Peter Ben Embarak menyokong kenyataan itu dengan menyatakan tiada bukti mengesahkan penularan wabak besar di Wuhan sebelum tempoh tersebut. – AFP