WASHINGTON: Bekas penasihat kanan White House, Jared Kushner dan timbalannya, Avi Berkowitz dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan atas peranan mereka merundingkan empat perjanjian normalisasi antara Israel dan beberapa negara Arab.
Perjanjian normalisasi hubungan diplomatik itu dikenali sebagai Abraham Accords.
Lapor Reuters, Kushner yang merupakan menantu kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Berkowitz dicalonkan oleh peguam Alan Dershowitz atas kapasiti beliau sebagai profesor emeritus di Harvard Law School.
Dalam satu surat kepada jawatankuasa Nobel, Dershowitz juga memuji usaha dan hasil kerja bekas Duta AS ke Israel, David Friedman dan bekas Duta Israel ke AS, Ron Dermer dalam perjanjian normalisasi tersebut.
“Hadiah Nobel Keamanan ini bukan populariti semata-matanya malah bukan mengenai penilaian masyarakat antarabangsa terhadap individu yang membantu mewujudkan keamanan.
“Ia adalah anugerah berjaya memenuhi beberapa kriteria sukar yang ditetapkan oleh Alfred Nobel dalam syaratnya,” jelas surat itu.
Kushner dan Berkowitz merupakan pelopor perjanjian normalisasi hubungan diplomatik antara Israel dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi.
Dalam pada itu, Kushner menerusi satu kenyataan memaklumkan beliau berasa dihargai untuk dicalonkan bagi anugerah tersebut.