PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menyumbang sebanyak lima peratus daripada bekalan dos vaksin Covid-19 mereka kepada negara-negara membangun.
Lapor BBC, Macron menegaskan kegagalan untuk berkongsi bekalan vaksin hanya akan menyebabkan ketidakadilan terus berlaku dan banyak negara miskin terjejas.
Macron mengusulkan cadangan itu bagi mengimbangi pengedaran vaksin di seluruh dunia.
“Kita tidak bercakap soal berbilion dos vaksin. Adalah lebih baik jika dapat menyumbang sekurang-kurangnya lima peratus daripada bekalan vaksin Covid-19 yang ada kepada negara memerlukan.
“Tindakan itu tidak akan mengubah kempen vaksinasi kita, malah langkah tersebut perlu dilakukan segera untuk membantu penduduk di negara membangun,” katanya.
Beliau juga memaklumkan Canselor Jerman, Angela Merkel menyokong inisiatif berkongsi vaksin dan berharap AS juga akan memberi sokongan yang sama.
Dalam pada itu, White House memaklumkan Presiden AS, Joe Biden akan mengumumkan bantuan dana sebanyak AS$4 bilion (RM16.2 bilion) untuk membiayai skim perkongsian vaksin global yang dikenali sebagai Covax.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 110 juta penduduk dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia dan lebih 2.4 juta meninggal dunia.