LIMA: Sungai yang dipercayai menjadi lubuk emas dapat dilihat berkilauan di bawah silauan matahari di Amazon menerusi sebuah imej ditangkap dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Lapor Daily Mail, gambar tersebut diambil oleh seorang angkasawan dari makmal di orbit itu, ketika mengikuti Ekspedisi 64, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).
Gambar itu memaparkan pemandangan menakjubkan lubuk berkenaan di tenggara Peru, di sebelah Sungai Inambari.
Biasanya, lubuk emas itu tersembunyi daripada pandangan para angkasawan di ISS sama ada kerana dilitupi awan atau tidak berada pada kedudukan yang betul dengan ISS untuk melihat sinaran matahari.
Imej itu diambil pada 24 Disember tahun lalu dengan menggunakan kamera digital Nikon D5 dan lensa setebal 400 milimeter.
Jelas laporan itu, lubuk emas yang muncul dalam imej itu akibat daripada pantulan cahaya matahari pada ratusan lubang air berlumpur yang mengandungi emas di dasar sungai Amazon.
Peru merupakan negara pengeluar emas keenam terbesar di dunia.
Malah, bahagian tenggara Madre de Dios menempatkan salah sebuah industri perlombongan emas terbesar di dunia.
Dilaporkan, puluhan ribu penduduk mencari nafkah daripada aktiviti perlombongan yang tidak berdaftar di wilayah tersebut.