CALIFORNIA: Lebuh Raya 1 California di sini musnah apabila dilanda ribut ketika musim sejuk melanda yang menyebabkan hujan lebat dan salji minggu ini, lapor CNN.
Pegawai Bahagian Pengangkutan California (Caltrans) menerusi kenyataan berkata, serpihan pokok dan tanah mengalir dari lereng bukit sehingga menyebabkan infrastruktur saliran melimpah serta mengalir atas lebuh raya sehingga berlaku hakisan jalan yang mengakibatkan kerosakan di Lebuhraya 1 di Rat Creek, kira-kira 24 kilometer di selatan Big Sur.
Pegawai Kawalan Lebuh Raya California, John Yerace berkata, dia berada di kawasan itu pada pukul 4 petang, Khamis lalu dan menyedari bahagian jalan terutamanya di laluan arah selatan runtuh menghala ke arah laut.
Rakaman gambar dan dron dari lokasi kejadian menunjukkan terdapat jurang besar di kawasan lebuh raya itu di sepanjang sebahagian besar pantai California.
Pekerja Caltrans menemui serpihan yang mengalir sejak Khamis lalu dan mengarahkan syarikat pembinaan Papich di San Luis Obispo County untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan.
Menurut Caltrans, laluan itu akan ditutup buat sementara waktu sementara proses baik pulih dijalankan sehingga satu tarikh yang dimaklumkan kemudian.
Kerajaan California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat di daerah Monterey dan San Luis Obispo susulan ribut musim sejuk yang menyebabkan banjir lumpur.