SYDNEY: Bandar kedua penghuni paling ramai di Australia iaitu Melbourne akan melaksanakan perintah berkurung singkat selama lima hari bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.
Lapor Reuters, satu lagi kluster baharu dikesan di bandar ini yang dikaitkan dengan sebuah hotel yang menjadi pusat kuarantin di Melbourne.
Setakat ini, kluster tersebut merekodkan sebanyak 13 kes.
Ketua Menteri negeri Victoria, Daniel Andrews yang mengumumkan perintah berkurung itu menegaskan semua penduduk di larang berkumpul, mengadakan majlis keraian, keagamaan dan hanya duduk di rumah.
“Orang ramai juga tidak dibenarkan menghadiri acara sukan termasuk kejohanan Tenis Terbuka Australia yang akan berlangsung hingga 21 Februari ini,” katanya.
Terdahulu, kehadiran pengunjung dalam acara itu sudah dihadkan sebanyak 50 peratus daripada kapasiti biasa.