TOKYO: Bilangan kes jenayah di Jepun pada 2020 menyaksikan penurunan bagi enam tahun berturut-turut, dengan penurunan mendadak bagi kes jenayah di jalanan disebabkan orang ramai kekal berada di rumah semasa pandemik Covid-19, berdasarkan data pihak polis.
Lapor Japan Times, bagaimanapun bilangan kes keganasan rumah tangga dan jenayah siber mencecah rekod paling tinggi, menurut data Agensi Polis Kebangsaan (NPA).
Secara keseluruhan, terdapat 614,303 kes jenayah di Jepun tahun lalu, menyaksikan penurunan sebanyak 17.9 peratus berbanding 2019.
“Perubahan dalam masyarakat seperti penyebaran norma baharu Covid-19 akan berterusan memberi kesan kepada situasi jenayah pada masa depan.
“Tetapi besar kemungkinan akan berlaku lebih banyak kes mangsa penderaan, keganasan rumah tangga dan gangguan secara tersembunyi, jadi kita akan mengambil langkah pencegahan dengan memberi tindak balas segera kepada kaedah perundingan,” kata NPA.
Jenayah di jalanan termasuk vandalisme Mesin Layan Diri dan kes mencuri jatuh 27 peratus iaitu bersamaan 199 kes berbanding 282 kes tahun sebelumnya.
Penurunan itu dapat dilihat selepas pengumuman darurat mengenai pandemik yang diisytiharkan April tahun lalu.
Kes pembunuhan juga mencatatkan penurunan sebanyak 9.7 peratus iaitu 8,934 kes.
Bilangan perundingan kes keganasan rumah tangga meningkat 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 82,641 kes dengan 8,701 kes masih dalam siasatan.
Kes jenayah siber meningkat 4.1 peratus bersamaan 9,911. Bilangan gangguan nombor mencurigakan dikesan pihak polis meningkat sebanyak 55.2 peratus.
Menurut NPA, peningkatan itu disebabkan lebih ramai individu bekerja di rumah semasa pandemik dan peningkatan penggunaan perkakasan rumah dan alat peranti lain yang dihubungkan dengan internet.
Kes jenayah di Jepun pernah menyaksikan peningkatan pada 2002 apabila pihak polis merekodkan 2.8 juta kes.