JAKARTA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia menurun sedikit berbanding yang dijangka pada suku keempat, sekali gus menyaksikan ekonomi di negara ini menguncup sepanjang tahun buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Indonesia, KDNK negara ini menurun sehingga 2.19 peratus pada Oktober hingga Disember 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Peratusan tersebut lebih buruk daripada yang dijangka oleh pakar ekonomi dalam kaji yang dilakukan oleh Reuters sebelum ini.
Namun, kadar tersebut dilihat lebih baik daripada penurunan 3.49 peratus pada suku sebelumnya iaitu pada Julai Hingga September 2020.
Indonesia dilanda kemelesetan ekonomi bermula tahun lalu ketika bertungkus-lumus mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.
Sehingga kini, Indonesia menjadi negara Asia Tenggara yang merekodkan jumlah jangkitan serta kematian tertinggi akibat virus tersebut.
Secara keseluruhan pada tahun lalu, KDNK negara ini merosot 2.07 peratus berbanding 2019 dan merupakan penguncupan sepanjang tahun pertama sejak krisis kewangan Asia pada 1998.
Cari jalan keluar
Negara ini cuba mencari jalan keluar daripada kemelesetan ekonomi dengan melonggarkan perintah sekatan Covid-19, namun langkah itu dilihat hanya meningkatkan kes jangkitan hingga ke tahap sukar dikawal, selain gagal memacu peningkatan ekonomi.
Berikutan itu, pihak berkuasa Indonesia melaksanakan semula perintah sekatan yang lebih ketat bagi membendung penularan Covid-19 dan keadaan itu secara tidak langsung memburukkan lagi ekonomi negara ini.
Perbelanjaan isi rumah, kerajaan
Perbelanjaan isi rumah yang menyumbang lebih daripada separuh KDNK Indonesia merudum sehingga 3.6 peratus tahun ke tahun pada suku keempat, selain kadar pelaburan terus perlahan dengan penurunan 6.2 peratus.
Tahap perbelanjaan kerajaan pula hanya meningkat sebanyak 1.8 peratus iaitu lebih perlahan daripada pertumbuhan 9.8 peratus pada suku keempat sebelum ini.
Program vaksin bantu pulih ekonomi
Bagaimanapun, sesetengah penganalisis berpendapat program vaksinan yang dilakukan oleh negara ini boleh membantu proses pemulihan ekonomi.
“Tidak seperti negara lain, kerajaan Indonesia mengutamakan vaksinasi untuk penduduk yang aktif secara ekonomi bagi membantu memulihkan pembangunan,” kata pakar ekonomi di syarikat Capital Economics, Gareth Leather.
Syarikat tersebut mengunjurkan pertumbuhan 7.5 peratus tahun ini, kira-kira empat peratus berbanding ramalan sebelum krisis.
Guna semua instrumen polisi
Dalam pada itu, Bank Indonesia yang menurunkan kadar faedah sebanyak 1.25 peratus mata tahun lalu dan menyuntik AS$50 bilion (RM204 bilion) kecairan dalam pasaran kewangan berhasrat untuk menggunakan semua instrumen dasar bagi menyokong pemulihan ekonomi tahun ini.
Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati pada minggu ini memaklumkan pihaknya akan menggunakan semua sokongan fiskal untuk pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.
Beliau juga melahirkan harapan agar pertumbuhan itu boleh menghampiri AS$49.39 bilion (RM201 bilion) yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk program bantuan Covid-19 pada tahun lalu. – AGENSI