NEW DELHI: Rancangan keluarga terkaya di India untuk membina zoo terbesar di dunia dan pusat perlindungan haiwan mencetuskan kontroversi di negara itu.
Lapor Al-Jazeera, keluarga Ambani yang memiliki aset sebanyak AS$168 bilion (RM672 bilion) dalam industri telekomunikasi itu merancang membina zoo seluas 113 hektar yang diberi nama ‘Pusat Rehabilitasi dan Penyelamat Zoo Hijau’ di bandar Jamnagar di barat India, Gujarat.
Zoo itu akan menjadi rumah perlindungan bagi 100 spesies binatang, burung dan reptilia dari India serta seluruh dunia termasuk singa Afrika, harimau Bengal dan biawak Komodo.
Mukesh Ambani yang memiliki aset sebanyak AS$79 bilion (RM316 bilion) merupakan pemilik industri telekomunikasi serta merupakan individu ke-12 terkaya di dunia.
Menurut laporan Business Insider, projek haiwan itu diketuai oleh anak lelakinya, Anant Ambani, 25, yang merupakan ahli lembaga pengarah di syarikat telekomunikasi, Jio.
Januari lalu, industri telekomunikasi memeterai perjanjian dengan Zoo Negeri Assam di Guwahati untuk menerima dua harimau bintang menerusi pertukaran dua pasang kuda zebra dari Israel, perjanjian pertukaran yang dikritik hebat oleh aktivis dan parti politik tempatan.
Ahad lalu, seramai 100 aktivis berhimpun di hadapan Zoo Guwahati bagi menentang pertukaran harimau bintang itu.