JAKARTA: Jurucakap program vaksinasi Covid-19, Reisa Kartikasari memberi amaran sekatan undang-undang terhadap rakyat Indonesia yang melanggar keutamaan pengagihan vaksin.
Lapor CNN Indonesia, salah satu bentuk pelanggaran itu adalah memotong giliran penerimaan vaksin.
Menurut Reisa, keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan dan orang ramai diminta bersabar sehingga tiba giliran masing-masing.
“Sekarang ini kita menumpukan petugas kesihatan sebelum pegawai perkhidmatan awam kerana perkhidmatan mereka sangat diperlukan dan perlu memastikan mereka berada dalam keadaan sihat dan dilindungi daripada wabak Covid-19.
“Jangan terlibat dengan perbuatan melanggar undang-undang hanya semata-mata ingin divaksinkan,” katanya.
Peringkat pertama program vaksinasi akan dilaksanakan sehingga April ini dengan menyasarkan petugas dan pembantu kesihatan, staf sokongan dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian profesional kesihatan yang bekerja di kemudahan perkhidmatan kesihatan.
Data yang dikeluarkan oleh Petugas Khas Menangani Covid-19 menunjukkan seramai 814,585 petugas menerima suntikan dos pertama, manakala, 171,270 sudah menerima suntikan kedua.
Fasa ketiga akan dilakukan pada April ini hingga Mac tahun depan yang menyasarkan golongan masyarakat dari sektor sosial dan ekonomi.
Bagi fasa keempat pula, suntikan dos menyasarkan orang awam dan pemain sektor ekonomi lain bergantung ketersediaan vaksin.