Industri teksi kuning New York mula malap - Utusan Malaysia

Industri teksi kuning New York mula malap

SEKUMPULAN pemandu teksi memegang plakad yang menggesa golongan itu diberi pengecualian hutang kerana pandemik Covid-19 menjejaskan pendapatan mereka di New York, Amerika Syarikat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sebelum pandemik Covid-19 menerjah dunia, teksi kuning yang menjadi ikon New York akan memenuhi setiap ceruk jalan di bandar raya ini.

Perkhidmatan pengangkutan itu akan digunakan setiap hari tanpa mengira waktu bagi memenuhi keperluan penduduk New York yang sibuk.

Namun, wabak koronavirus yang melanda dunia ketika ini mengubah ‘hakiki’ tersebut apabila tiada lagi orang ramai berkejar-kejar menahan teksi di tepi jalan, sekali gus menjadikan masa depan teksi kuning tidak lagi terjamin.

Keadaan itu dapat dilihat apabila kira-kira 50 teksi sabar menunggu penumpang di tempat letak kenderaan di Lapangan Terbang La Guardia berbanding ratusan teksi sehingga kawasan sesak sebelum ini.

Seorang pemandu teksi, Joey Olivo, 65, berkata, dia rindukan suasana ratusan teksi berebut mendapatkan penumpang yang keluar dari lapangan terbang tersebut.

“Kalau dulu, kami hanya tunggu 20 minit untuk mendapatkan penumpang, kini kami terpaksa menghabiskan masa menunggu yang lebih lama iaitu hampir dua jam setiap hari.

“Jika bernasib baik, ada penumpang dan jika tidak, kami akan pulang dengan tangan kosong sambil mengenang masa yang sudah dihabiskan untuk menunggu,” katanya.

Sejak pandemik Covid-19 bermula di Amerika Syarikat (AS), kebanyakan pejabat mula mengarahkan kakitangan bekerja dari rumah, sekolah ditutup dan sektor pelancongan juga terhad.

Keadaan itu menyebabkan perkhidmatan teksi tidak dapat berjalan seperti biasa.

“Keadaan ini sangat menyesakkan. Pendapatan saya menurun sehingga 80 peratus iaitu dari AS$1,000 (RM4,036) sebulan, kini hanya mampu memperoleh AS$2 (RM8) hingga AS$300 (RM1,211) seminggu.

Olivo juga memaklumkan dirinya ‘bertuah’ kerana masih mampu meneruskan kehidupan susulan isterinya bekerja sebagai jururawat dan mempunyai pendapatan tetap.

 

‘Sudah jatuh ditimpa tangga’

Pemandu teksi New York yang kebanyakannya merupakan golongan pendatang generasi pertama selalunya mampu menjana pendapatan sehingga AS$7,000 (RM28,255) sebulan atau lebih jika mereka membuat kerja lebih masa.

Kemunculan perkhidmatan pengangkutan e-hailing seperti Uber dan Pyft sudah pun menjejaskan pendapatan pemandu teksi sebelum ini dan pandemik yang berlaku ketika ini membuat golongan tersebut seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Itu yang dialami oleh seorang lagi pemandu teksi, Richard Chow, 62, yang berasal dari Myanmar.

Katanya, dia membayar sebanyak AS$410,000 (RM1.7 juta) untuk mendapatkan permit membawa teksi pada 2006.

Dalam tempoh beberapa tahun mendatang, harga permit tersebut semakin menaik dan pada 2009, adik Chow, Kenny terpaksa membayar sebanyak AS$750,000 (RM3.02 juta) untuk memperoleh permit.

Pada 2014, harga permit teksi boleh mencecah sehingga AS$1 juta (RM4.03 juta).

 

Risiko muflis

Kemunculan ribuan pemandu pengangkutan e-hailing menjadi antara penyebab harga permit teksi naik mencanak dan para pemandu yang membeli permit itu pada harga tinggi berdepan dengan risiko menjadi muflis susulan tidak mampu membayar hutang.

Keadaan itu menyebabkan Kenny serta tujuh pemandu lain membunuh diri pada 2018.

Pengarah Eksekutif Gabungan Pekerja Teksi, Bhairavi Desai berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan peratusan penumpang menaiki teksi menurun sehingga 90 peratus.

“Daripada 13,000 permit yang dipohon, hanya 5,000 teksi yang masih beroperasi secara berkala ketika ini.

“Selebihnya hanya mampu ‘duduk diam dan menanggung beban yang banyak’,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya