JAKARTA: Program vaksinasi terhadap golongan warga emas bermula semalam dengan mengutamakan petugas kesihatan.
Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak berkaitan untuk memulakan program vaksinasi pada pukul 9 pagi waktu tempatan dan menyasarkan golongan berusia 60 tahun ke atas.
“Terdapat kira-kira 11,600 daripada 1.5 juta petugas kesihatan yang berusia 60 tahun. Melakukan vaksinasi terhadap kelompok ini adalah langkah tepat kerana kematian akibat Covid-19 yang disumbangkan oleh warga emas cukup tinggi.
“Sebanyak 10 peratus dari sejuta orang yang dijangkiti Covid-19 adalah golongan warga emas dan daripada jumlah tersebut, 50 peratus antaranya meninggal dunia,” katanya kepada CNN Indonesia.
Terdahulu, Badan Pengawal Ubat dan Makanan (BPOM) mengesahkan vaksin Coronavac adalah selamat digunakan terhadap golongan warga emas berdasarkan ujian klinikal fasa satu, kedua dan ketiga yang dilakukan di Brazil.
BPOM juga meluluskan penggunaan kecemasan vaksin tersebut untuk penduduk berusia 60 tahun ke atas dengan dua dos suntikan dan suntikan diberi dalam tempoh selang 28 hari.
Ketua BPOM, Penny K. Lukito berkata, warga emas merupakan golongan berisiko tinggi, maka semua aspek perlu diperhatikan selepas diberi suntikan vaksin.