JAKARTA: Sebuah perkampungan di Jawa Tengah dilanda banjir berwarna merah yang kelihatan seperti darah berdekatan kilang batik, lapor CNN.
Kejadian itu menyebabkan ribuan pengguna Twitter berkongsikan gambar dan video Kampung Jenggot di Bandar Pekalongan yang dilimpahi air tersebut.
Seorang pengguna Twitter, Ayah E Arek-Arek berkata, dia bimbang sekiranya gambar itu jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab atau penyebar berita palsu.
“Takut ada yang mengisahkan cerita tentang tanda-tanda ia adalah hari akhir dunia atau hujan berdarah,” katanya menerusi ciapan yang dimuat naik.
Pekalongan terkenal sebagai bandar yang menghasilkan batik.
Kejadian air sungai berubah warna bukanlah peristiwa yang biasa berlaku di kawasan itu.
Ketua Bantuan Bencana Pekalongan, Dimas Arga Yudha mengesahkan gambar yang disebarkan adalah betul.
“Air sungai bertukar menjadi warna merah disebabkan oleh pewarna batik yang dilanda banjir. Ia muncul selepas bercampur air hujan selepas itu,” katanya.