NEW DELHI: India dan China bersetuju menarik balik pasukan tentera masing-masing dari kawasan tasik yang dipertikaikan di Himalaya barat.
Ia dilihat sebagai usaha terbesar dalam mengurangkan ketegangan antara dua negara pemilik nuklear itu sejak pergaduhan terburuk berlaku pada Jun tahun lalu.
Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh memberitahu Parlimen bahawa persetujuan itu dicapai selepas beberapa sesi rundingan antara komander tentera dan diplomat diadakan.
“Rundingan berterusan kami dengan China membawa kepada kesepakatan untuk menarik balik tentera di utara dan selatan Tasik Pangong di sepanjang sempadan Himalaya yang dipertikaikan,” katanya.
Kementerian Pertahanan China memaklumkan tentera barisan depan dari kedua negara sudah mula mengundur dari kawasan tasik itu semalam.
Pertempuran itu tercetus pada April tahun lalu selepas India mendakwa tentera China merentasi Garis Kawalan (LOC) di kawasan Ladakh di Himalaya barat. – REUTERS