LANCASHIRE: Seorang ibu mengalami pengalaman mencabar bagi menguruskan anak seramai 22 orang termasuk yang perlu mengikuti pembelajaran di rumah disebabkan pandemik Covid-19.
Daily Mail melaporkan, Sue Radford, 45, dikurniakan 22 orang cahaya mata hasil perkahwinan dengan suaminya, Noel Radford, 49, dan mereka sekeluarga tinggal di Morecomber, Lancashire.
Kesemua anak mereka berusia dari 30 tahun hingga lima bulan.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam Youtube, Sue menunjukkan rutin harian keluarganya pada setiap pagi dan bagaimana dia mengejutkan anaknya pada setiap pagi serta memastikan mereka bersarapan sebelum mengikuti pembelajaran menerusi platform Zoom.
Dalam video itu, semasa Sue menyediakan sarapan untuk anaknya dan menyelesaikan masalah teknikal yang dihadapi oleh seorang anak, anak-anak yang lain pula bertanyakan tentang kerja sekolah sementara, anak lain pula mula menangis.
“Saya tidak tahu tentang orang lain, tetapi saya sentiasa bersedia sekiranya mereka sudah boleh kembali ke sekolah terutamanya apabila ramai anak yang perlu belajar di rumah.
“Kalau yang sekolah menengah tidak susah sangat bagi mereka, sebab boleh buat kerja sendiri, tetapi bagi yang bersekolah rendah ia adalah kerja yang mencabar,” katanya.
Sue sering berkongsikan video keluarganya dan pada awal bulan lalu, dia memuat naik rakaman video mereka sekeluarga membuat latihan Matematik dan Bahasa Inggeris.