KALIMANTAN: Seorang peguam di bandar Tarakan, Kalimantan Utara, Mukhlis Ramlan mendakwa Hospital Tarakan cuai dan melakukan penyelewengan.
Kompas.com melaporkan, Mukhlis tidak dapat menerima kenyataan apabila ibunya, Megawati Muhammad Saleh, 63, yang berada dalam keadaan kritikal serta memerlukan bantuan khas akibat sakit jantung, ditempatkan dengan pesakit mental di hospital tersebut.
“Pesakit jantung diletakkan dalam satu bilik dengan pesakit mental, suhu bilik adalah 16 darjah Celsius, alat kawalan diambil oleh jururawat dan mengunci pintu bilik dari luar, perkhidmatan apakah ini?” soalnya.
Mukhlis membawa ibunya ke hospital pada 8 Januari lalu dan doktor memberikan rawatan perubatan.
Bagaimanapun, keesokan harinya, pengurusan hospital itu memindahkan wanita itu ke wad Tulip yang menempatkan pesakit mental perempuan.
Lebih memeranjatkan, apabila pihak hospital memaklumkan wanita itu dijangkiti Covid-19 dan meminta ahli keluarga menjaga jarak sosial.
“Sampai sekarang saya minta laporan Covid-19, pihak hospital masih tidak memberikannya, ini sangat janggal.
“Secara logiknya, kenapa tiba-tiba ditempatkan bersama pesakit mental? Sedangkan laporan perubatan di Hospital Pertamedika atau Hospital Angkatan Laut Tarakan yang merupakan tempat ibu saya mendapatkan rawatan perubatan sebelum ini menyatakan dia sakit jantung,” luahnya.
Ibunya pernah membuat panggilan dan menyatakan tidak tahan berada di dalam wad tersebut sebelum meninggal dunia.