JAKARTA: Guru sandaran di Sekolah Dasar Negeri (SDN) 169 Sadar, Hervina yang dipecat kerana menulis status mengenai jumlah gaji yang diterimanya dalam media sosial akan dibenarkan mengajar semula.
Pengetua sekolah tersebut, Hamsinah berkata, pihaknya bersedia menawarkan semula jawatan guru sandaran kepada Hervina.
Hamsinah berkata demikian ketika menghadiri sidang di Dewan Perwakilan daerah Bone kelmarin.
Lapor Kompas.com, beliau juga memohon maaf berhubung insiden tersebut.
Terdahulu, Hervina dipecat gara-gara memuat naik status dalam media sosial mengenai kegembiraannya menerima gaji sebanyak 700,000 rupiah (RM202) selepas berkhidmat di sekolah tersebut selama empat bulan.
Dalam pada itu, Hervina melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk mengajar.
“Alhamdulillah saya diberi peluang sekali lagi untuk menabur bukti dengan mendidik anak bangsa dan juga berterima kasih kepada semua pihak yang menyelesaikan masalah yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Pendidikan Bone juga akan memperbaharui surat pelantikan Hervina sebagai guru sandaran di sekolah terbabit.