Guna WhatsApp hadapi Covid-19 - Utusan Malaysia

Guna WhatsApp hadapi Covid-19

PENDUDUK Bantul juga diajar cara mengendalikan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia mengikut prosedur ditetapkan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Penduduk tempatan di Yogyakarta menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 dan menyediakan penyelesaian yang terbaik untuk kemudahan orang ramai.

Grup WhatsApp pertama diwujudkan pada Mac tahun lalu ketika kes jangkitan Covid-19 pertama di Indonesia mula dilaporkan.

Ketika ini, terdapat kira-kira 14 grup WhatsApp yang bertanggungjawab menguruskan semua urusan berkaitan pandemik Covid-19.

 

Tubuh pusat kuarantin sendiri

Satu daripada grup tersebut membantu komuniti membangunkan pusat perlindungan dan unit penempatan bagi menempatkan pesakit yang dikuarantin selepas hampir semua hospital di daerah Bantul, Yogyakarta penuh akibat lambakan pesakit Covid-19.

Satu lagi grup WhatsApp yang diberi nama Sonjo Tangguh diwujudkan pada awal Januari lalu bagi membantu penduduk kampung di Bantul mengumpulkan sumbangan untuk tilam dan bantal bagi kegunaan pusat kuarantin di 48 perkampungan dalam daerah tersebut.

Selain itu, sumbangan itu juga diserahkan kepada sebuah pusat kuarantin di Sumbermulyo yang boleh menempatkan kira-kira 50 pesakit dalam satu masa.

“Pusat kuarantin sementara itu sangat berguna untuk penduduk kampung memandangkan banyak hospital sudah penuh. Sehingga hari ini, kami mempunyai 22 pesakit Covid-19 yang dikuarantin di pusat tersebut,” kata Ketua Kampung Sumbermulyo, Ani Widayani.

 

Bantu penduduk kampung

Dalam pada itu, Rimawan Pradiptyo yang mengasaskan pergerakan grup WhatsApp Sonjo menyatakan setiap grup mempunyai tujuan yang sama iaitu membantu penduduk kampung.

“Sonjo Tangguh digerakkan selepas kami melihat penduduk di Bantul memerlukan kira-kira 446 tilam dan bantal untuk membangunkan kemudahan kuarantin selepas hospital semakin sesak dengan pesakit Covid-19.

“Kami mengumpul sumbangan berdasarkan keperluan dan kini, kami mampu menyumbangkan 181 tilam kepada beberapa pusat kuarantin di sekitar daerah Bantul,” katanya yang juga merupakan Ketua Jabatan Ekonomi di Sekolah Ekonomi dan Perniagaan Universiti Gadjah Mada.

Ketua agensi kesihatan Bantul, Agus Budi Raharjo pula menyatakan pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan awam dan kerjasama, termasuk dana yang dikumpul oleh ahli kumpulan Sonjo.

Katanya, Sonjo memainkan peranan besar dalam menguruskan dana yang diperoleh daripada pelbagai pihak untuk keperluan penduduk kampung sepanjang pandemik berlaku.

Grup WhatsApp pertama Sonjo yang kini dinamakan ‘Sonjo HQ’ digunakan sebagai pusat penyelaras bagi membincangkan beberapa isu yang dihadapi oleh penduduk kampung serta grup lain.

“Kesemua 14 grup WhatsApp masih aktif dalam menyelesaikan isu berbangkit dan ada juga grup yang sudah semakin aktif memandangkan banyak perkara telah diselesaikan,” ujar Rimawan.

 

Didik penduduk kampung

Selain itu, pergerakan grup WhatsApp itu juga secara tidak langsung mendidik penduduk kampung mengenai protokol Covid-19, termasuk ketika mengendalikan kes kematian pesakit Covid-19.

Rimawan menjelaskan, penduduk Bantul tidak boleh bergantung semata-mata kepada petugas perubatan untuk melakukan semua perkara.

“Biarpun ramai dalam kalangan kami tidak pernah berjumpa antara satu sama lain, tetapi masing-masing tahu apa yang perlu dibuat untuk berdepan dengan cabaran pandemik,” jelasnya.

Sementara itu, sehingga hari ini, Indonesia merekodkan 1.27 juta kes dengan kematian mencecah 34,316 orang. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya