JAKARTA: Indonesia akan melaksanakan fasa kedua proses vaksinasi Covid-19 untuk pekerja yang melibatkan sasaran 38.5 juta orang .
Pekerja tersebut terdiri daripada golongan pendidik, peniaga pasar, tokoh agama, wakil rakyat, pegawai pemerintah, tentera dan polis.
Indonesia sebelum ini melaksanakan fasa pertama vaksinasi menggunakan vaksin Sinovac dari China bermula 13 Januari lalu yang memfokuskan suntikan vaksin kepada petugas kesihatan, selain kepemimpinan utama negara.
Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, fasa kedua itu dijangka selesai pada Mei depan yang melibatkan lebih 16.9 juta pekerja dan lebih 21.5 juta warga emas.
Dalam pada itu, orang ramai diminta tidak teragak-agak mengambil bahagian dalam program vaksinasi Covid-19.
Lapor Kompas.com, nasihat itu disampaikan oleh jurucakap Tugas Khas Menangani Covid-19, Wiku Adisasmito yang menegaskan suntikan vaksin sangat penting sebagai usaha membendung penularan virus tersebut.
Katanya, pihak kerajaan turut memberi jaminan keselamatan penggunaan vaksin Sinovac kerana sudah menerima kebenaran penggunaan daripada Agensi Kawalan Dadah dan Makanan (BPOM).
“Sinovac sudah mempunyai sijil halal daripada Majlis Ulama Indonesia. Ini menunjukkan vaksin Covid-19 selamat digunakan serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurutnya, sehingga sekarang tiada sebarang masalah serius yang dialami oleh individu yang telah menerima suntikan vaksin tersebut.