MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menolak untuk mengurangkan sekatan Covid-19 termasuk kuarantin di seluruh negara sehingga kempen vaksinasi vaksin Covid-19 bermula.
Lapor Arab News, Duterte juga menolak cadangan untuk memulakan sesi persekolahan tatap muka di beberapa kawasan utama sehingga vaksinasi bermula.
Filipina pada mulanya dijadualkan menerima kira-kira 600,000 dos vaksin Covid-19 keluaran Sinovac semalam, namun ditangguhkan selepas syarikat tersebut gagal mendapatkan kelulusan penggunaan kecemasan segera daripada Pentadbiran Ubatan dan Makanan Manila.
Sinovac hanya memperoleh kelulusan tersebut kelmarin.
Duterte yang diwakili oleh jurucakapnya, Harry Roque menegaskan pemimpin itu menyedari tentang membuka semula pintu ekonomi dan kesannya terhadap kehidupan rakyat.
“Namun, Presiden Duterte lebih mengutamakan kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya.
Filipina setakat ini merekodkan lebih 563,000 kes jangkitan Covid-19 dan lebih 12,000 kematian iaitu kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia.