SAN DIEGO: Sebuah dompet yang hilang sejak 53 tahun lalu di Antartika berjaya ditemukan semula dan diserahkan kepada pemiliknya, Paul Grisham, 91.
The Guardian melaporkan, Grisham yang berasal dari Douglas, Arizona, memberitahu San Diego Union Tribune, dompetnya tercicir semasa dia bertugas selama 13 bulan sebagai tentera laut di Antartika dan terlupa mengenainya.
“Saya amat terharu kerana banyak pihak cuba menjejaki saya,” katanya.
Dompet itu mengandungi kad pengenalan tentera laut, lesen memandu, kad rujukan mengenai panduan yang perlu dilakukan semasa serangan bahan kimia, biologi dan atom, penyata cukai dan resit kiriman wang kepada isterinya.
Grisham menyertai tentera laut pada 1948 dan menjadi juruteknik dan peramal cuaca.
Pada 1967, dia dihantar ke Antartika bagi menyertai Operasi Deep Freeze yang turut disertai pasukan saintis.
Dompet itu dijumpai di belakang almari berkunci pada 2014 semasa kerja-kerja merobohkan bangunan di stesen McMurdo dan Pulau Ross.
Usaha menjejaki Grisham dibuat melalui pelbagai cara termasuk menggunakan emel, mesej Facebook dan surat.
Dompet itu diserahkan oleh Stephen Decato yang bekerja di agensi yang membuat kajian di Antartika dan anak perempuannya, Sarah Lindbergh semasa perjumpaan Kesatuan Perkhidmatan Cuaca Tentera Laut.